Daerah Bagan Datuk diisytiharkan secara rasmi sebagai daerah baharu ke-12 bagi Perak, hari ini.

Pengisytiharan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh yang turut dihadiri kira-kira 10,000 penduduk yang hadir membanjiri sekolah berkenaan, di sini bagi menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

Terdahulu, majlis dimulai dengan nyanyian lagu kebesaran Negeri Perak dan bacaan al-Quran diikuti sembah ucapan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta sembah ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan persembahan montaj dan titah pengisytiharan oleh Sultan Nazrin.

Turut berkenan berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan jemputan lain.

Bagan Datuk sebelum ini terletak di bawah pentadbiran Daerah Hilir Perak dengan pusat pentadbiran berada di Teluk Intan.

Pewartaan sebagai daerah dibuat pada 15 Jun 2016 dengan keluasan 94,969.892 hektar.

Daerah baharu ini merangkumi empat mukim iaitu Teluk Bharu, Hutan Melintang, Rungkup dan Bagan Datuk dengan jumlah penduduk seramai 70,300 orang.

Aktiviti ekonomi penduduk di Bagan Datuk melibatkan pertanian, perikanan, pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *