Penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael memberitahu dia sudah bersedia untuk mengakhiri zaman bujang sekiranya bertemu dengan calon yang sesuai dijadikan isteri iaitu orang kampung.

Awi Rafael atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Gunawan, 29, berkata, sebagai lelaki, gadis kampung adalah ciri-ciri wanita yang dihajatinya.

“Pada usia sekarang, tipulah kalau saya tidak fikirkan soal jodoh biarpun berstatus single. Kalau ditanya wanita bagaimana yang saya cari, saya mahukan gadis desa yang penuh ciri kesantunan dan kalau boleh biarlah ia berasal dari Malaysia,” ujarnya.

Mengulas tentang calon isteri, Awi berkata, dia mengimpikan untuk merasai kemeriahan tinggal dan berehat di kampung yang mampu mententeramkan jiwanya.

“Sebelum ini saya banyak merantau sehingga ke luar negara dan melihat banyak gaya hidup serta latar belakang budaya yang berbeza.

“Tujuh tahun berkarya sepenuh masa di Malaysia, jiwa saya memang selesa di sini, apatah lagi saya mempunyai ramai sanak-saudara di Pontian, Johor.

“Sejujurnya merantau banyak mematangkan diri saya dan pada satu tahap saya impikan ketenangan dalam hidup sehingga terdetik mahu mencari pasangan dari kampung yang berasal dari Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Awi turut berkongsi khabar gembira atas pembukaan sebuah restoran perkongsian miliknya Timbre @ The Row yang merupakan cawangan pertama di Malaysia selain mempunyai sembilan cawangan lain di Singapura.

Timbre @ The Row merupakan sebuah restoran berkonsepkan muzik yang mula beroperasi pada penghujung tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Awi memberitahu dia mempertaruhkan 10 buah lagu menerusi album terbarunya ‘Euforia’, dua daripadanya adalah lagu berbahasa Inggeris.

“Euforia bermaksud gambaran perasaan gembira, tenteram, tenang, nyaman dimana ianya amat berkait rapat dengan personaliti saya sendiri maka album ini diberi judul tersebut.

“Ini merupakan album ketiga saya di mana saya sudah enam tahun bersama label Warner Music Malaysia,” ujarnya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *