KUALA LUMPUR, Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menjadi calon kedua menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti akan datang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan lima agenda utama yang perlu diberi fokus dalam membawa perubahan kepada UMNO.

“Lima agenda utama harus difokuskan untuk memaknakan perubahan ini iaitu pengkaderan, pentarbiyahan, pemantapan ilmu, pengukuhan jati diri dan pemerkasaan rohani.

“Berpandukan lima agenda inilah, saya menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, ujian yang melanda UMNO kini adalah isyarat Allah supaya pendukung parti menjiwai makna perjuangan sejati.

“Apa yang tinggal kini hanya sisa perjuangan yang menagih kesetiaan dan keikhlasan setiap warga untuk melakukan perubahan dalam parti.

“Perubahan dalam UMNO harus bermula dengan pembangunan generasi muda pewaris perjuangan.

“Pemuda perlu disuntik dengan idealisme, roh dan semangat pengorbanan berteraskan prinsip Islam sejati, sebagaimana mendasari perjuangan UMNO sejak awal penubuhannya,” katanya.

Sebelum ini, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun, mengumumkan akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti akan datang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *