Share on Facebook

TAWAU, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan enam bot jongkong mencurigakan membawa 111 warga asing yang bekerja sebagai nelayan di perairan Inderasabah dekat sini, pagi semalam.

Pengarah Maritim Daerah Kapten Maritim Romli Mustafa berkata kesemua bot yang bergerak secara berkelompok itu dikesan pasukan bot ronda APMM di kedudukan antara 1.56 batu nautika sehingga 1.58 batu nautika dari selatan Inderasabah pada jam 8.15 pagi.

“Pemeriksaan mendapati kesemua bot membawa awak-awak lelaki berumur 12 hingga 65 tahun itu dari kawasan bagang menuju ke Inderasabah dengan membawa hasil ikan bilis serta peralatan bagang.”

“Siasatan lanjut mendapati, 52 daripada 111 awak-awak tersebut turut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri manakala 59 lagi dibebaskan kerana memiliki dokumen sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Romli berkata kesemua bot yang diperiksa dan awak-awak yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan dan dibawa masuk ke Jeti Maritim Malaysia Daerah Tawau untuk pemeriksaan lanjut bersama pihak Imigresen Tawau.

Sementara itu, katanya pihak maritim  akan meningkatkan rondaan dan pemantauan bagi memastikan tugas-tugas penguatkuasaan dilaksanakan tanpa gagal sekali gus berusaha mengurangkan perlanggaran undang-undang di perairan Malaysia khususnya Tawau.

Romli berkata orang ramai disaran menjadi mata dan telinga bagi membantu Maritim Malaysia dalam membanteras setiap kegiatan yang melanggar undang-undang negara ini.

Katanya lagi, individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pelanggaran undang-undang di perairan Tawau atau aduan boleh menghubungi talian hotline APMM TAWAU di talian 089-752115 atau talian kecemasan MERS 999.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *