KUALA LUMPUR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat mengadakan sesi jelajah ke negeri-negeri sebagai tanda penghargaan kepada rakyat atas sokongan mereka terhadap Pakatan Harapan.

Ketua Umum PKR itu berkata, sesi itu akan bermula tidak lama lagi memandangkan pembentukan Kabinet untuk fasa pertama telah selesai dan beliau juga gembira dengan pengumuman senarai Kabinet.

“Saya gembira urusan ini telah diselesaikan. Ini adalah bahagian pertama Kabinet. Kami ucapkan selamat maju jaya kepada mereka.

“Tidak seperti regim sebelum ini, anggota jemaah menteri kami akan diperhati dengan teliti oleh rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, Anwar dan isterinya yang dinamakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, di sini hari ini.

Ditanya kehidupannya selepas dibebaskan sejak Rabu lalu, Anwar berkata beliau masih belum berkesempatan meluangkan masa bersama anak dan cucunya secukupnya kerana sibuk dihujani media.

Anwar, 71, dibebaskan Rabu lalu selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *