Bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin menggugurkan kes saman ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu derma RM2.6 bilion yang didakwa digunakan untuk parti.

Selain Najib, Anina turut menggugurkan saman tersebut ke atas Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh selepas kes berkenaan dikemukakan pada 31 Disember tahun lalu di Mahkamah Tinggi.

Pada Isnin, peguam yang mewakili defendan, Datuk Mohd Hafarizam berkata, Anina telah mengemukakan notis untuk tidak meneruskan kes tersebut berdasarkan permohonannya pada bulan ini.

“Beliau turut bersetuju membayar RM5,000 sebagai kos mahkamah. Klien saya juga bersetuju kes itu digugurkan,” kata Mohd Hafarizam ketika dihubungi.

Peguam Anina, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, anak guamannya telah memfailkan notis itu pada 22 September ketika beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Saman untuk meminta duit tersebut dipulangkan kepada UMNO tidak lagi relevan kerana beliau (Anina) bukan lagi ahli parti itu.

“Anina bersetuju membayar kos yang ditanggung sepanjang kes itu berlangsung,” katanya.

Disember lalu, Najib dan Ab Rauf Yusoh berjaya mengenepikan saman itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Zaki Abdul Wahab dalam keputusannya berkata, beliau mendapati saman itu secara jelas tidak sejajar dengan peruntukan undang-undang.

Secara jelasnya, Mohd Zaki berkata, Anina tidak mempunyai hak yang sah di sisi undang-undang untuk mengambil tindakan memandangkan beliau bukan pegawai awam atau pemegang jawatan di dalam parti berkenaan, mengikut Seksyen 9(C) Akta Pertubuhan 1966.

Ujar beliau lagi, Anina perlu kekal menjadi anggota Parti UMNO jika mahu kes berkenaan diteruskan.

“Kes yang dibangkitkan merupakan hal dalaman parti dan Anina diarahkan untuk membayar kos RM5,000 kepada setiap defendan,” kata beliau.

Anina dipecat daripada UMNO pada 2 September tahun lalu kerana tindakan memfailkan saman ke atas Najib.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *