Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Persekutuan Koperasi Pertanian Kebangsaan Korea Selatan (NACF) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pembangunan industri tenusu di negara ini.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, menerusi MoU itu, NACF bersetuju untuk membekalkan sperma lembu berkualiti dari Korea Selatan yang akan menghasilkan baka lembu yang mampu mengeluarkan lebih banyak susu berbanding lembu yang ada di Malaysia ketika ini.

“Pada bulan depan NACF akan membekalkan kira-kira 1,500 straw sperma lembu yang akan disuntik kepada baka lembu yang diimport dari Australia dan New Zealand yang akan melahirkan baka lembu baharu yang menghasilkan lebih banyak susu.

“Selepas menerima sperma itu kita akan mengimport sebanyak 220 ekor lembu dari Australia dan New Zealand yang dijangka diterima pada Januari, katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu pada Khamis.

Abdul Fattah menandatangani MoU itu mewakili ANGKASA manakala NACF diwakili Pengerusinya, Kim Byeong Won.

Abdul Fattah berkata, buat masa ini projek itu akan tertumpu di tiga lokasi iaitu di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, yang menyaksikan 60 koperasi yang bernaung di bawah ANGKASA akan terlibat menjayakannya.

“Koperasi yang terlibat kebanyakannya berasaskan pertanian dan penternakan dan projek ini dijangka memberi keuntungan kepada koperasi tersebut dan anggotanya apabila berjaya kelak,” katanya.

Katanya, kerjasama itu juga adalah titik permulaan bagi membantu kerajaan membangunkan industri tenusu bagi memenuhi permintaan di negara ini yang ketika ini sebanyak 95 peratus diimport.

Majlis menandatangani MoU itu merupakan acara sampingan pada Persidangan Global dan Mesyuarat Agung Persekutuan Koperasi Antarabangsa yang diadakan di sebuah hotel di Bandar Sunway dekat sini.

Malaysia julung kali menjadi tuan rumah acara bertaraf global itu yang berlangsung empat hari sejak Selasa yang bertujuan membincangkan isu berkaitan pembangunan sektor koperasi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *