Share on Facebook

Sekurang-kurangnya lima pegawai polis maut dan 41 lagi cedera, apabila beberapa pengedar dadah meletupkan bom kawalan jauh, di sebuah balai di Barranquilla, semalam.

Komander Polis Barranquilla, Mariano Botero, berkata serangan berkenaan yang terburuk pernah dilakukan ke atas pegawai keselamatan beberapa tahun kebelakangan ini, membabitkan bandar terpenting negara itu.

Ia berlaku selepas kerajaan pimpinan Presiden Juan Manuel Santos berusaha menamatkan konflik bersenjata yang membelenggu negara terbabit sejak 50 tahun lalu.

Sebahagian besar keganasan di Colombia diakibatkan oleh sindiket pengedaran dadah yang berleluasa, dan letupan terbaru itu turut menjejaskan persiapan menyambut perayaan tahunan bandar berkenaan.

Menurut Botero, letupan itu berlaku ketika semua anggota sedang berhimpun untuk taklimat di waktu pagi.

Sementara itu sumber polis memberitahu, terdapat 49 pegawai polis di lokasi ketika kejadian, lima daripadanya yang berusia antara 24 dan 31 terbunuh manakala 41 lagi cedera parah.

Peguam Negara Nestor Martinez berkata, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki terbabit melakukan serangan itu. – AFP

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *