Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini berkata tahun 2017 “menjanjikan tahun yang paling sukar diramal dan mungkin ‘berbahaya’ untuk seluruh dunia”.

Beliau berkata pendapat ini berdasarkan, antara lain, konflik di Timur Tengah, perang mulut antara Rusia dan Amerika Syarikat serta cerita-cerita palsu yang disebarkan mengenai Malaysia.

Menerusi catatan terbaharu dalam blog beliau, Salleh berkata konflik di Timur Tengah akan meningkat menjadi satu tragedi yang tidak ada bandingannya dalam sejarah sekiranya gencatan senjata tidak dapat bertahan.

Beliau berkata perang mulut antara Rusia dan Amerika juga mengancam untuk membawa dunia kembali ke era perang dingin apabila dunia berhadapan dengan senario yang sangat serius yang boleh berakhir dengan kemusnahan.

“Harapan kami ialah dengan kedatangan tahun baharu, (Presiden Amerika yang dipilih – Donald) Trump dan (Presiden Rusia Vladimir) Putin akan duduk bersama dan menyelesaikan perbezaan mereka (Amerika dan Rusia).

Perang mulut antara Amerika-Rusia berhubung dakwaan Rusia menggodam pilihan raya presiden Amerika 2016 telah meningkat sejak beberapa hari lepas, dengan pentabdiran Obama menuduh Rusia terlibat dalam usaha memastikan kemenangan Trump sebagai presiden dalam pilihan raya itu.

Salleh berkata: “Banyak salah faham ini disebabkan persepsi dan maklumat yang salah dan kemudian berkembang menjadi konflik. Pergaduhan antara Amerika-Rusia merupakan kes berdasarkan khabar angin dan syak wasangka”.

Beliau berkata Malaysia turut mengalami keadaan yang sama.

“Cerita-cerita palsu mengenai negara ini disebarkan. Ada yang kata Malaysia akan bankrap. Kemudian mereka katakan Tabung Haji akan bankrap. Semua cerita negatif dan mengelirukan ini berterusan,” katanya.

Salleh berkata rakyat Malaysia cenderung untuk menerima berita palsu dan pembohongan sebagai fakta tanpa memeriksa kebenaran dan kesahihan berita berkenaan.

“Sekiranya kita mahu mengelak daripada terjerumus menjadi mangsa penipuan, maka kita perlu mengesahkan apa sahaja perkara yang diberitahu kepada kita,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *