Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Zuraida Wajar Dikenakan Tindakan Disiplin

Zuraida Wajar Dikenakan Tindakan Disiplin

KUALA LUMPUR, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, wajar dikenakan tindakan disiplin kerana mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin tertinggi parti ketika berucap pada majlis makan malam ‘Wawasan Kemakmuran Bersama’ di sebuah hotel di sini, malam Ahad lalu.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata tindakan Zuraida yang lantang mencaci dan menghina beberapa pemimpin PKR termasuk Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi MPN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak jelas melampau serta terkeluar daripada landasan adab dan akhlak.

Beliau berkata, serangan Zuraida terhadap keperibadian Fahmi dan Farhash sangat mendukacitakan serta tidak menunjukkan perilaku selayaknya sebagai seorang menteri Kabinet.

“Saya juga difahamkan pada majlis itu, Zuraida dengan bongkaknya membongkar beberapa perkara kononnya adalah intipati perbualan beliau dengan Presiden PKR.

“Ini satu sifat jelik yang mana isi butiran sesuatu perbincangan dengan Presiden adalah satu amanah yang perlu dijaga dan tidak sewajarnya didedahkan kepada khalayak umum, melainkan beliau mempunyai agenda tertentu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, malam tadi.

Berikutan itu, Shamsul berkata, beliau sendiri akan mencadangkan kepada Lembaga Disiplin PKR untuk mengambil tindakan tegas terhadap Zuraida kerana perkara dilakukan Ahli Parlimen Ampang itu jelas melanggar etika dan disiplin parti.

Beliau berkata, Zuraida tidak sepatutnya berbuat demikian kerana beliau pemimpin kanan parti yang seharusnya menjadi contoh kepada anggota parti lain.

Katanya, beliau juga terkejut dengan kenyataan negatif dikeluarkan beberapa pemimpin kanan PKR yang memburukkan Anwar pada majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama dianjurkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya percaya majlis makan malam ini dirancang lebih awal dan diadakan bagi menggantikan ‘Kongres Renaissance’ yang terpaksa dibatalkan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penganjuran majlis makan malam bertemakan Wawasan Kemakmuran Bersama oleh beberapa kepemimpinan PKR di ibu negara malam Ahad lalu, dilihat menjadi pentas menyerang dan mengganyang Presiden PKR.

Mohamed Azmin dan beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) termasuk Zuraida tidak hadir pada hari terakhir Kongres PKR di Melaka, tetapi menghadiri majlis makan malam itu di ibu negara, yang dilihat menjadi pentas menyerang Anwar.

Malah, Mohamed Azmin ketika berucap pada majlis itu antara lain berkata, dia tidak rela digelar pengkhianat oleh sebilangan pemimpin dan ahli parti itu dipercayai menyebelahi Anwar.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu turut mengkritik Anwar secara terbuka yang disifatkannya gagal mengawal ahli parti sendiri, selain nama Muhammad Yusuff Rawther pula muncul dalam krisis PKR selepas bekas sukarelawan penyelidik Anwar itu membuat pengakuan bersumpah berdepan gangguan seksual daripada Ahli Parlimen Port Dickson itu, tahun lalu.

Leave a Reply

Top