Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Zuraida Mahu Parti Bincang Isu PRK

Zuraida Mahu Parti Bincang Isu PRK

BATU KAWAN, Tiada sebarang mesyuarat rasmi pada peringkat tertinggi bagi membincangkan kerusi yang akan diberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding.

Berikutan itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, mencadangkan satu mesyuarat rasmi diadakan bagi membincangkan mengenai perkara terbabit.

Menurutnya, perbincangan bagi membuat keputusan berhubung perkara itu perlu mendapat persetujuan semua peringkat tertinggi dan tidak hanya membabitkan pemimpin tertentu.

“Saya sebagai pemimpin dalam parti mencadangkan mesyuarat rasmi dilakukan dan kita perlu senaraikan kerusi mana dianggap tidak mendatangkan risiko.

“Kita akan lihat kerusi mana yang mempunyai risiko paling minimum dan atas dasar itu, kita akan tentukan kerusi yang mahu diberikan kepada Anwar,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang di Batu Kawan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tian Chua yang kecewa dengan calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli, kerana mengenepikannya dalam perbincangan berhubung keputusan mengosongkan kerusi Parlimen untuk membolehkan Anwar bertanding.

Tian Chua sebelum ini dilaporkan berkata, Rafizi yang tidak habis-habis bercakap mengenai keterbukaan, ketelusan dan kebenaran kini boleh pula mendakwa beberapa orang terpilih untuk membuat keputusan besar untuk parti tanpa berunding dengan orang lain dalam kepimpinan.

Beliau dalam tulisannya di Twitter juga turut mempersoalkan sama ada parti itu kini adalah parti demokratik atau kongsi gelap.

Leave a Reply

Top