Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Zuraida Dalam Siasatan JK Disiplin Keadilan

Zuraida Dalam Siasatan JK Disiplin Keadilan

BALIK PULAU, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin, kini dalam siasatan jawatankuasa disiplin parti itu.

Saifuddin berkata, aduan membabitkan Zuraida diterima sejurus selepas Kongres PKR yang diadakan di Melaka berakhir pada bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung perkembangan siasatan kes terbabit, namun memaklumkan ia sedang diteliti jawatankuasa disiplin dipengerusikan Datuk Ahmad Kassim.

“Saya boleh sahkan ada aduan terhadap beliau (Zuraida) dan saya boleh sahkan aduan itu sekarang berada di tangan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (PKR), Datuk Ahmad Kassim.

“Sesuatu tindakan disiplin itu akan membawa kepada keputusan akhir, sama ada amaran, gantung atau pecat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan pasar raya, TF Value Mart, yang pertama di Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Ditanya bila keputusan berhubung kedudukan Zuraida dalam parti akan diketahui, Saifuddin berkata ia bergantung kepada siasatan.

Semalam sebuah portal berita melaporkan, ada gesaan untuk memecat Zuraida atas dakwaan menghina ahli parti dan mendedahkan isi perbualannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara terbuka.

Rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti terbabit terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu semakin memuncak selepas beliau dikatakan menyerang ahli lain dalam ucapannya pada majlis makan malam ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’ pada 8 Disember lalu.

Leave a Reply

Top