Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Zed Zaidi Didakwa

Zed Zaidi Didakwa

SEPANG, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, antara empat individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dakwaan menyebarkan berita palsu berkaitan penularan COVID-19 pada bulan lalu.

Bagaimanapun, Zed atau nama sebenar Rozaidi Abdul Jamil, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret A Akhiruddin @ Boy Acho.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Zed didakwa menggunakan aplikasi Twitter melalui akaun ‘rozaidijamil’ dengan niat menyebabkan kegentaran awam, justeru dikhuatiri mungkin terdorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Pelakon itu didakwa berkongsi berita palsu berbunyi: ‘Breaking News: All countries except Malaysia – All countries has banned Chinese tourist except Malaysia’, yang dimuat naik menerusi akaun Facebook dan Twitter beliau.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 12.51 tengah hari 27 Januari lalu dan dikesan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya pada jam 10.30 pagi 29 Januari lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan kes disebut semula pada 11 Mac depan.

Zed diwakili peguam Zamri Idrus, sementara pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R Siamalah.

Di mahkamah sama, seorang pengarah syarikat, Mohd Khairul Anuar Rosli, 30, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama menggunakan aplikasi web ‘Oh My Media’, yang mendapat perhatian SKMM pada jam 1.20 tengah hari 27 Januari lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 dan tarikh sebutan semula pada 17 Mac depan.

Dalam pada itu, juruteknik, Mohd Afendy Mohd said, 34, dan peniaga, Syed Mohd Faiz Syed Nasir, 28, pula mengaku bersalah atas pertuduhan sama sebelum masing-masing diberi ikat jamin RM4,000 dengan tarikh jatuh hukum ditetapkan pada 17 Mac depan.

Mohd Afendy didakwa menggunakan aplikasi Facebook melalui akaun ‘Afendy Said’ yang dibaca SKMM pada jam 2.30 petang 27 Januari lalu, manakala Syed Mohd Faiz menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun ‘faeznasirr’ yang dikesan SKMM pada jam 3.30 petang hari yang sama.

Leave a Reply

Top