Selama ini orang menganggap bahawa Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia 1996-1998, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai orang kuat bekas TPM, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya pada pertandingan Ketua Pemuda 1996, Anwar yang juga Timbalan Presiden Umno mahu MB Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang menjadi Ketua Pemuda yang baharu.

Mendedahkan perkara ini dalam Majlis Makan Malam Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia 1996 bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi, Zahid berkata, ” yang ini boleh tulis”.

“Kalau saya tulis autobiografi saya, yang ini saya akan tulis,” katanya yang sama sekali menyangkal dakwaan beliau ditaja oleh Anwar untuk menentang penyandang Tan Sri Rahim Thamby Chik pada 9 Oktober 1996. Dalam pertandingan lima penjuru itu, Zahid mendapat 199 undi;Tan Sri Annuar Musa (135 undi); Rahim Thamby Chik (103 undi); Isa Samad (72 undi) dan Abdul Rahman Salleh (1 undi).

Zahid yang ketika itu Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mendedahkan bahawa ketika beliau berada di Kangar beliau dipanggil ke Pulau Pinang untuk menemui Anwar yang berada di situ. Mereka bertemu  dalam jet rasmi kerajaan di lapangan terbang antarabangsa Bayan Lepas yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Anwar suruh Zahid tarik diri dari pertandingan ketua pemuda dan beri laluan kepada Isa Samad yang kalah tipis kepada Rahim pada pemilihan 1993. Dalam pemilihan dua penjuru pada tahun 1993, bekas Ketua Menteri Melaka itu menang dengan majoriti 44 undi. Rahim mendapat 264 undi manakala Isa dapat 220 undi.

Zahid beritahu Anwar biar beliau buat solat istiqarah terlebih dahulu. Setiap malam Zahid melakukan solat istiqarah dan beliau bertekad untuk bertanding walaupun tidak direstui oleh pucuk pimpinan kecuali dilarang oleh ayah dan ibunya.

Seminggu kemudian setiausaha sulit Anwar, Azmin Ali memanggil Zahid ke pejabatnya. Azmin tanya dah dapat petunjuk dari solat istiqarah. Zahid jawab beliau tetap akan bertanding walaupun mendapat dua undi sahaja.

Azmin beri sampul surat yang mengandungi wang tunai tetapi  beliau menolak kerana jika beliau terima wang tunai sebanyak RM30 ribu beliau akan dituduh menerima RM3 juta kerana tarik diri dari pertandingan itu.

Apabila Azmin beritahu Anwar yang berada di dalam biliknya melalui interkom bahawa Zahid tolak duit itu, Zahid  terdengar suara Anwar yang mengatakan degil sungguh Zahid kerana beliau sudah kaya.

Zahid menegaskan beliau kaya bukan kerana dapat saham Hicom atau Proton dari Anwar tetapi kerana latar belakang korporatnya sendiri tanpa bantuan Anwar.

Oleh kerana ayah dan ibunya tidak melarang Zahid bertanding, maka beliau pun bertanding jawatan ketua pemuda kerana pemuda 1996 mahu ketuanya datang dari kilang pemuda sendiri.

Beliau hanya berseloroh sedia bertanding apabila ditanya pemberita adakah beliau akan bertanding ketua pemuda kerana Datuk Seri Nazri Aziz yang memangku jawatan ketua pemuda buat pengumuman di London enggan bertanding dan menyebut Zahid yang layak bertanding.

“Saya dedahkan semua ini untuk menunjukkan bahawa bukan mudah saya berada di sini sekarang kerana ia penuh dengan ranjau dan duri,” katanya sambil disambut bekas perwakilan dan pemerhati pemuda 1996 seramai 600 orang.

Katanya, hanya beliau dan Tan Sri Syed Jaafar Albar ketua pemuda yang tidak ada jawatan dalam kerajaan. Zahid ketika itu hanya Pengerusi Bank Simpanan nasional (BSN).

“Sebagai ketua pemuda selama 22 bulan walaupun tiada jawatan dalam kerajaan, tetapi saya dapat laksanakan 222 buah program pemuda di seluruh negara,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Dalam ucapannya itu juga beliau berseloroh walaupun semua yang hadir pada malam ini bukannya semua mengundi beliau pada tahun 1996 kerana masing-masing cari rezeki di empat kolam.

Katanya, selepas menang beliau bawa semua 165 ketua pemuda yang undinya dan tidak undinya menunaikan umrah tetapi ia dijadikan senjata oleh bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkannya sedangkan beliau bawa mereka ke Mekah selepas pertandingan dan bukannya sebelum pertandingan. Sebaliknya bukan sahaja beliau bawa penyokongnya malah ketua pemuda yang tidak mengundinya.

Beliau berharap ahli Umno ambil ikhtibar dari perjalanan karier politiknya bahawa dalam politik kita jangan meminta jawatan.

“Saya tak pernah rancang semua ini tetapi saya bersyukur akhirnya saya dilantik TPM untuk bantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya yang juga Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas timbalan presiden.

Majlis berakhir pada jam 11 malam itu menyaksikan kemesraan Zahid dengan perwakilan pemuda 1996 yang sudah 20 tahun tidak ditemuinya. Malah ramai perwakilan pemuda 1996 sudah meninggal dunia.

Zahid sanggup bersalam dengan semua 600 orang hadirin di pintu dewan. Ini jelas membuktikan bahawa Zahid masih mesra seperti dahulu walaupun kini beliau adalah seorang Timbalan Perdana Menteri.

 

Oleh: Zabidi Saidi www.catatanzabidi.blogspot.com.my

mhonline

 

mhonline

mhonline

mhonline

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *