MH Online

Laman Suara Rakyat

Zahid Fail Permohonan Untuk Dengar Pertuduhan Ke Mahkamah Tinggi

Zahid Fail Permohonan Untuk Dengar Pertuduhan Ke Mahkamah Tinggi

SHAH ALA, Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memfailkan permohonan untuk mendengar semua 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dihadapinya di mahkamah tinggi.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid ketika prosiding pengurusan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh.

“Kami akan failkan kes untuk didengar di Mahkamah Tinggi selepas mendapat dokumen berkaitan kes daripada pihak pendakwaan. Selepas itu, kami akan buat permohonan (pindahkan kes ke Mahkamah Tinggi).

“Bagaimanapun, pihak pembelaan dan pihak pendakwaan sudah berbincang dan bersetuju supaya semua dokumen berkaitan kes diserahkan dalam masa sebulan lagi,” katanya.

Terdahulu, pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun memberitahu pihak pendakwaan menarik balik permohonan bagi memindahkan 33 pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahmad Zahid untuk didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Pendakwaan menarik balik permohonan (memindahkan 33 pertuduhan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) memandangkan semakan semula kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bagi memindahkan tujuh lagi pertuduhan rasuah ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) ditolak dan hakim memerintahkan supaya kesemua kes ini kekal untuk didengar di mahkamah ini,” katanya.

Peng Kun turut memberitahu mahkamah bahawa terdapat lebih 500 dokumen sedang disediakan oleh pihak pendakwaan untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.

Rozilah kemudian menetapkan Rabu ini untuk pengurusan kes.

Pada 31 Julai lalu, pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk memindahkan tujuh pertuduhan bagi dibicarakan bersama 33 lagi pertuduhan rasuah berhubung VLN dihadapinya di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Presiden UMNO didakwa menerima rasuah berjumlah S$4.24 juta (anggaran RM1=S$3.06) daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan perkara kesalahan itu dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid turut berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem VLN.