Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Wujud Cubaan Halang Anwar Jadi PM

Wujud Cubaan Halang Anwar Jadi PM

KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid tidak menolak kemungkinan wujud konspirasi dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Abdullah Sani berkata, melihat senario politik semasa, memang tidak mustahil seandainya konspirasi itu benar-benar wujud seperti yang diperkatakan.

“Meskipun masing-masing tahu dalam konsensus PH bahawa selepas Tun (Dr Mahathir), Anwar adalah penggantinya namun kelihatan ada ‘pengkhianat’ yang cuba merosakkan perjanjian berkenaan.

“Saya sendiri turut mendapat banyak maklumat mengenainya dan boleh dikatakan gerakan terbabit sudah bermula sebelum pemilihan PKR lalu lagi.

“Saya hairan mengapa pengkhianat terbabit beria-ia mahu menjadi Perdana Menteri, namun usah risau, semua kegiatan mereka berada dalam pemantauan parti,”  dipetik sebagai berkata.

Abdullah Sani yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat MPP Keadilan mengulas mengenai kenyataan Anwar yang disiarkan sebuah portal berita hari ini mengenai konspirasi yang wujud dalam PH untuk menghalang beliau daripada menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Menerusi temubual bersama Financial Times (FT), Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dikatakan mendakwa ada gerakan kecil dalam pakatan yang hendak mensabotaj perancangan yang sudah dilakukan untuk kepentingan tertentu.

“Saya tidak nafikan, sesetengah orang dalam pakatan pemerintah hari ini mempunyai agenda berbeza,” katanya yang dipetik daripada laporan itu.

Anwar tidak mendedahkan individu yang beliau percaya menjadi sebahagian daripada konspirasi seperti didakwa.

Sementara itu, pada sidang media Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Albukhary hari ini, Anwar menyifatkan laporan FT berhubung isu berkenaan sebagai berita palsu.

Anwar dilaporkan berkata, beliau tidak pernah berkata demikian kepada FT dan menegaskan tidak akan melayan sebarang berita palsu yang dilaporkan.

“Saya tidak pernah kata begitu (kepada FT). Berita palsu tidak akan dilayan,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, maksud sebenar apa yang dikatakannya ialah terdapat elemen tertentu yang mungkin tidak setuju dengan pelan peralihan terbabit.

“Ia satu proses demokrasi. Apa yang penting PH, Dr Mahathir dan saya sudah bersetuju (mengenai peralihan kuasa),” katanya.

Leave a Reply

Top