Mahkamah Tinggi dimaklumkan bahawa writ saman difailkan Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos gagal diserahkan kepada Jamal sehingga Selasa.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili Zuraida memberitahu pemberita sehubungan itu hakim S. Nantha Balan menetapkan 16 Januari untuk pengurusan kes selepas dimaklumkan bahawa writ saman itu gagal diserahkan kepada Jamal selaku defendan di dalam kes berkenaan.

“Pihak kami telah berusaha untuk menyerahkan writ saman kepada defendan di kediamannya termasuk pejabatnya tetapi masih gagal,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar hakim.

Beliau berkata pihaknya akan memfailkan permohonan penyampaian ganti sama ada menggunakan ruang iklan di dalam akhbar, meletakkan writ saman itu di papan kenyataan mahkamah atau menghantar melalui pos satu salinan writ saman ke alamat defendan.

Pada 17 November tahun lepas, Zuraida memfailkan saman fitnah itu dengan menamakan Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia atas dakwaan mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya berhubung insiden pukul di sebuah pusat beli-belah di Ampang.

Zuraida mendakwa perkataan fitnah itu telah diterbitkan secara meluas melalui media cetak dan elektronik serta portal berita online termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, Malaysiakini, Buletin Utama TV3 dan Astro Awani.

Zuraida juga mendakwa akibat penerbitan perkataan fitnah itu, reputasinya sebagai Anggota Parlimen telah terjejas kerana beliau merupakan seorang tokoh awam yang dikenali ramai.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *