Wisma Putra akan berurusan secara terus dengan kerajaan Korea Utara bagi memastikan sembilan rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan dapat pulang ke tanah air dengan selamat.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, kerajaan akan mengadakan rundingan secara formal dalam masa terdekat dengan Pyongyang berhubung perkara ini.

 “Kerajaan sedang melakukan apa yang boleh untuk memastikan mereka dapat pulang secepat mungkin.“Kita masih mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara dan kita sentiasa berhubung dengan mereka melalui kedutaan di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan 11 ahli keluarga rakyat Malaysia di Korea Utara di sini, Sabtu.

Anifah berkata pihaknya kini perlu mendapatkan beberapa fakta daripada agensi-agensi lain termasuk polis dan Kementerian Kesihatan.

“Kita perlu ada semua input, jadi apa sahaja keputusan dan apa sahaja yang dibincangkan, kita faham sepenuhnya apa yang kita boleh lakukan, apa yang tidak boleh kita lakukan dan apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun katanya kedua-dua negara masih belum menentukan lokasi sesuai untuk perbincangan itu akan diadakan.

Tambahnya, sekatan perjalanan terhadap rakyat Korea Utara di di negara ini akan berterusan selagi rakyat Malaysia di sana dikenakan sekatan yang sama.

Anifah berkata dalam usaha membawa pulang pegawai kedutaan dan ahli keluarga mereka, aspek keselamatan menjadi keutamaan.

Jelasnya, walaupun masih tidak dapat dipastikan bila mereka dapat pulang ke Malaysia, semua sembilan orang itu sentiasa mendapat perhatian daripada Wisma Putra.

Malah, beliau turut memberitahu baru sahaja bercakap di telefon dengan Penasihat Kedutaan Malaysia di Korea Utara Mohd Nor Azrin Md Zain sebelum sidang media diadakan.

“Mereka semua dalam keadaan sihat dan bersemangat tinggi.

“Mereka selamat di kawasan kedutaan dan bebas bergerak serta menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Menurut Anifah,  Korea Utara juga telah memberi jaminan keselamatan terhadap sembilan rakyat Malaysia yang berada di sana.

Selain Nor Azrin, lapan lagi rakyat Malaysia yang berada di sana adalah isterinya, Iza Karmila Ramli bersama tiga anaknya.

Turut bersama mereka adalah pembantu peribadi duta Noor Saadiah Jamaludin, pembantu tadbir Nirmala Malar Kodi Singaram berserta dua yang lain.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *