MELAKA, Qari Wilayah Persekutuan, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan qariah Negeri Sembilan, Normalina Alias muncul juara Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan 2017, di sini malam ini.

Wan Fakhrul Razi yang memperdengarkan bacaan surah Al-Baqarah memperoleh 89 mata manakala Normalina yang membaca surah At-Taubah mendapat 86.33 mata.

Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM15,000, tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, piala iringan dan sebuah kenderaan serba guna Proton Exora.

Kedua-dua mereka akan mewakili negara dalam Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Antarabangsa yang bakal berlangsung pada 15 hingga 20 Mei di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Qari Melaka, Azraie Datuk Abdul Hak muncul naib johan dengan mendapat 88.34 mata manakala qari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi di tempat ketiga (87 mata).

Bagi kategori qariah pula, peserta Selangor, Nur Ruzana Natiah Jaafar muncul naib johan dengan 84 mata diikuti Munirah Kasim dari Kelantan (83.68mata).

Naib johan membawa pulang wang tunai RM10,000, tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji dan tempat ketiga menerima wang tunai RM7,500 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji.

Kelantan dinobatkan juara keseluruhan bagi acara tilawah dengan 84.51 mata manakala Melaka juara keseluruhan acara hafazan dengan 96.47 mata.

Hadiah bagi peserta lelaki disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob, manakala isterinya Toh Puan Zurina Kassim kepada peserta wanita.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *