MH Online

Laman Suara Rakyat

WHO Syor Lebih Banyak Saringan

WHO Syor Lebih Banyak Saringan

STOCKHOLM, Mengadakan lebih banyak ujian percuma, pengesanan kontak serta langkah lain diperlukan untuk melawan varian Delta COVID-19, yang kini menular di kebanyakan negara Eropah.

Amaran itu dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan agensi kawalan penyakit Kesatuan Eropah (EU), pada Jumaat.

WHO dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) mengeluarkan rayuan bersama, bagi usaha yang perlu ditambah-baik oleh negara Eropah untuk mengambil serius penularan varian Delta yang sangat mudah merebak, pertama kali dikesan di India.

“WHO mengesyorkan supaya Eropah meningkatkan akses ujian secara percuma, memperluas penjujukan genom, memberikan insentif kepada mereka yang menjalani kuarantin dan pengasingan bagi kes disahkan positif.

“Negara-negara ini perlu mempertingkat pengesanan kontak untuk memutuskan rantai penularan dan memastikan mereka yang paling berisiko di antara penduduk, diberikan vaksin,” kata kenyataan bersama itu.

Katanya, data yang dilaporkan kepada WHO dan ECDC menunjukkan tempoh antara 28 Jun dan 11 Julai, varian Delta menjadi dominan di 19 daripada 28 negara yang melaporkan maklumat penjujukan genetik lengkap.

Jumlah kes melonjak minggu ini dengan sebanyak sembilan peratus di seluruh dunia, dengan peningkatan masing 26 peratus dan 60 peratus di Eropah dan Amerika Syarikat yang didorong oleh varian Delta, menurut tinjauan AFP.

Sementara itu, ECDC mengatakan 27 negara EU dan tiga negara bukan EU, sudah meningkatkan amaran terhadap pandemik di Eropah dan perlu memberi perhatian serius keadaan di Sepanyol, Portugal, Malta dan Cyprus. – AFP