MH Online

Laman Suara Rakyat

WHO Desak China Kongsi Data Mentah Kes Terawal COVID-19

WHO Desak China Kongsi Data Mentah Kes Terawal COVID-19

GENEVA, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak China berkongsi data mentah daripada kes COVID-19 yang terawal dikesan, bagi meneruskan siasatan lanjut mengenai asal usul wabak itu.

Gesaan itu dibuat ketika Russia merekodkan angka harian korban tertinggi membabitkan 808 kes dalam tempoh 24 jam, semalam, akibat virus itu yang sudah meragut sekurang-kurang 4.3 juta nyawa di seluruh dunia.

WHO menekankan sangat penting untuk membongkar asal usul virus itu yang kali pertama dikesan di bandar Wuhan di China pada Disember 2019.

Sehubungan itu, pertubuhan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu meminta penyediaan ‘semua data dan akses diperlukan agar siri kajian seterusnya dapat dimulakan secepat mungkin.’

Januari lalu, sepasukan pakar antarabangsa WHO berlepas ke Wuhan sebelum mengeluarkan laporan siasatan fasa pertama yang dihasilkan bersama rakan sejawat di China.

Bagaimanapun, laporan dikeluarkan pada Mac lalu itu tidak membuat kesimpulan kukuh, sebaliknya menggariskan empat hipotesis.

Menurut laporan itu, senario yang berkemungkinan paling besar ialah virus terbabit berpindah daripada kelawar kepada manusia melalui haiwan perantara, manakala dakwaan kebocoran makmal virologi di Wuhan pula dilihat sebagai ‘amat tidak berkemungkinan.’

Namun, siasatan itu dikritik sebagai kurang telus dan tiada akses mencukupi, serta tidak mengkaji teori kebocoran makmal berkenaan secara lebih mendalam.

Selepas meneliti laporan fasa pertama itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, merumuskan bahawa siasatan terhadap makmal virologi di Wuhan masih belum mencukupi.

Sementara itu saintis Denmark, Peter Ben Embarek yang mengetuai misi antarabangsa ke Wuhan, berkata seorang kakitangan makmal terkena jangkitan ketika mengambil sampel di lapangan, merupakan salah satu hipotesis kemungkinan mengenai cara virus terbabit berpindah daripada kelawar kepada manusia.

Beliau memberitahu saluran televisyen awam Denmark, TV2 bahawa kelawar disyaki itu bukan dari rantau Wuhan, dan satu-satunya orang yang berkemungkinan mendekati haiwan itu ialah petugas dari makmal Wuhan.

“Bagi menangani ‘hipotesis makmal’ itu, adalah penting untuk mendapat akses kepada semua data serta amalan saintifik yang difikirkan terbaik, dan meneliti mekanisme WHO yang sedia ada,” katanya. – AFP