Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada pelabur mengenai potensi risiko skim tawaran siling permulaan (ICO), berikutan kemunculan aktiviti skim pelaburan berasaskan token digital di Malaysia dan beberapa lokasi lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata, skim ICO juga boleh dirujuk sebagai tawaran token permulaan, penjualan pratoken dan penjualan umum.

“Pengendali skim ICO biasanya mengumpul dana melalui pengeluaran dan penjualan token digital, sebagai pertukaran untuk pelabur membayar token ini melalui mata wang maya, seperti Bitcoin atau Ethereum,” katanya.

Walaupun semua pengendali skim ICO berupaya mengumpul dana daripada pelabur, skim ini boleh distruktur dalam pelbagai bentuk, termasuk pelaburan langsung beberapa projek dengan matlamat membolehkan pemegang token mengambil bahagian dalam pulangan projek.

SC berkata, pelabur perlu sedar pengendali skim itu mungkin tidak mempunyai kehadiran di Malaysia dan ia sukar untuk disahkan.

Katanya, pengambilan semula wang yang dilaburkan mungkin tertakluk kepada undang-undang atau peraturan asing.

“Sesetengah skim ICO dan pihak yang terbabit menjalankan operasi mereka secara dalam talian dan tidak boleh dikawal selia, oleh itu pelabur mungkin terdedah kepada risiko penipuan, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, sementara token digital yang didagangkan di pasaran sekunder mungkin menimbulkan risiko tidak mencukupi kecairan atau harga yang tidak menentu.

“Struktur skim ini juga boleh mengehadkan perlindungan undang-undang dan rekursa bagi pelabur terhadap pengendali skim,” katanya.

Memandangkan terma dan ciri skim ICO mungkin berbeza dalam setiap kes, SC menasihati pelabur yang ingin terbabit atau melabur dalam skim ICO untuk mendapatkan nasihat undang-undang atau profesional lain mengenai legitimasi skim berkenaan.

“Pelabur juga harus memahami sepenuhnya ciri skim ICO dan berhati-hati mempertimbangkan risiko sebelum terbabit dengan wang mereka,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *