MH Online

Laman Suara Rakyat

KUALA LUMPUR 24 JULAI 2018. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof (kiri) berucap sempena Majlis Perjumpaan Khas bersama Editor-editor Cetak dan Elektronik di Bangunan Parlimen. NSTP/ ZULFADHLI ZULKIFLI.

Wartawan Diminta Jaga Imej Parlimen

KUALA LUMPUR, Pengamal media diminta menjaga imej Parlimen dengan memastikan keselesaan Ahli Parlimen serta pelawat tidak terganggu sepanjang membuat liputan sidang Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, berkata tindakan segelintir wartawan yang enggan menggunakan ruang khas disediakan di lobi Parlimen menyebabkan suasana hiruk-pikuk di kawasan itu.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama wartawan memastikan suasana sedemikian, yang menjadi punca Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini, Tan Sri Pandikar Amin Mulia melarang media berada di kawasan lobi, tidak berulang.

“Ada yang masih menunggu Ahli Parlimen di hadapan pintu Dewan Rakyat serta menemubual di tempat yang tidak ditetapkan, mengakibatkan suasana lobi kembali seperti dulu.

“Parlimen juga menerima tetamu luar negara hampir setiap hari. Suasana hiruk-pikuk dan tidak terkawal di lobi pasti akan mencalarkan imej Parlimen dan negara, di samping keselamatan dan keselesaan Ahli Parlimen perlu dilindungi dan dipertahankan.

“Saya optimis untuk mengekalkan kebenaran media di lobi, namun tanpa kerjasama baik media, kami khuatir perubahan baik ini terpaksa ditarik balik suatu hari nanti jika peraturan dan arahan tidak diendahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Editor Media Massa Bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Nga Kor Ming; Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah; Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Awang Alik Jeman.

Mohamad Ariff berkata, pihaknya sudah melaksanakan tiga perubahan untuk memudahkan petugas media sejak 18 Julai lalu, iaitu menempatkan ruang sidang media di aras 1, mengekalkan ruang sidang media dan pusat media serta mewujudkan ruang media khas di kawasan lobi Parlimen.

“Saya mohon diberikan masa mencukupi untuk kami membuat keputusan sama ada mengubah atau mengekalkan arahan (larangan) terdahulu,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Ariff meluangkan lebih sejam bersama wakil media dalam majlis yang bertujuan mengeratkan hubungan antara Parlimen dengan media.