KOTA BHARU, Seorang warga emas serta dua cucu perempuannya berusia enam dan dua tahun mengalami detik cemas dilarikan oleh dua lelaki bersama-sama kereta mereka dalam kejadian di stesen minyak di Batu Jong, Kuala Krai, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, mereka dilarikan sejauh 25 kilometer dan barang kemas yang dipakai disamun, lalu ditinggalkan di Bukit Bakar, Machang.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning, berkata mereka ditemui oleh orang ramai kira-kira 12.30 tengah malam.

Sebelum kejadian itu, katanya, mangsa Fatimah Husim, 63, dan suami Awang Abu Bakar, 60, menaiki kereta Proton Wira berwarna kelabu yang dipandu anak perempuannya, Norbaitin Nadia, 23, dari bandar Kuala Krai untuk pulang ke rumah mereka di Batu Jong, di sini.

Abdullah berkata, mereka berhenti di stesen minyak itu untuk mengepam tayar.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa berada di tempat duduk penumpang belakang sementara menunggu anak perempuan mengepam tayar, manakala suami mangsa ke tandas.

Secara tiba-tiba, katanya, dua lelaki dipercayai lingkungan usia 30-an memasuki tempat duduk hadapan dan kereta diundurkan untuk dibawa lari.

“Suami mangsa yang keluar daripada tandas sempat menarik seorang suspek, namun tidak berjaya menghentikan kereta.

“Anak mangsa turut melihat sebuah kereta Proton Wira berwarna biru dipandu seorang lelaki mengekori rapat kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdullah berkata, ketika dilarikan, mangsa diacukan sebilah pisau di leher dan diarah menyerahkan semua barang kemas yang dipakai bernilai RM9,000.

Katanya, sebaik saja mangsa diselamatkan oleh orang awam pada jam 12.30 tengah malam selepas ditinggalkan suspek di tepi jalan di Bukit Bakar, Machang, mereka terus membuat laporan polis.

“Kereta mangsa ditemui setengah jam kemudian di kawasan berdekatan, dipercayai terbabas di tepi jalan, manakala suspek melarikan diri,” katanya.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

-BH Online-

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *