MH Online

Laman Suara Rakyat

Wanita Warga Emas Hilang RM49,000 Diperdaya Skim Cabutan Bertuah

Wanita Warga Emas Hilang RM49,000 Diperdaya Skim Cabutan Bertuah

KEPALA BATAS, Seorang wanita warga emas rugi RM49,000 apabila terpedaya dengan sindiket skim cabutan bertuah yang disertainya sejak 2016.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa yang berumur 75 tahun itu didatangi ahli sindiket berkenaan untuk menyertai skim yang menawarkan hadiah wang tunai RM150,000.

Beliau berkata, ahli sindiket itu juga beberapa kali mengunjungi kediaman mangsa dan menggunakan pelbagai tipu helah supaya warga emas terbabit melakukan pemindahan wang ke skim berkenaan.

“Sindiket itu memperdaya mangsa sejak 2016 sehingga mangsa akhirnya sedar bahawa dia sudah ditipu pada tahun ini.

“Mangsa memaklumkan bahawa dia menyerahkan wang kepada sindiket berkenaan sebanyak empat kali dan kali terakhir adalah pada Mac lalu dengan jumlah keseluruhan sekitar RM49,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, selepas mangsa sedar dirinya ditipu, dia dihubungi lagi oleh sindiket berkenaan dan atas dasar curiga dia menceritakan perkara itu kepada anaknya.

“Mangsa bersama anaknya kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sindiket itu bagaimanapun tidak serik apabila terdapat seorang suspek wanita ke rumah mangsa sekali lagi semalam dan polis berjaya menahannya,” katanya.

Katanya, polis menahan reman suspek wanita itu untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket yang menjanjikan hadiah atau pulangan wang yang berganda,” katanya.