MH Online

Laman Suara Rakyat

Wanita UMNO Gesa Siasat Pengedaran Komik Ke Sekolah

Wanita UMNO Gesa Siasat Pengedaran Komik Ke Sekolah

KUALA LUMPUR, Wanita UMNO menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyiasat dan memberi penjelasan mengenai pengedaran komik didakwa berbentuk propaganda diedarkan di sekolah.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata komik itu mengundang bahaya kerana didakwa ada unsur memutar belit sejarah bagi menafikan kerajaan terdahulu, selain mengandungi maklumat cuba ‘menghalalkan’ komunis.

Beliau berkata, ia bukan saja biadab, malah boleh dianggap mencabar undang-undang negara.

“Tidak mustahil satu hari nanti, sejarah Malaysia boleh diubah sesuka hati. Lebih parah lagi, pengorbanan nenek moyang kita terdahulu dimanipulasikan demi kepentingan pihak tertentu.

“Jika perkara ini tidak disanggah dan diambil tindakan sewajarnya, tidak hairan dari sekecil-kecil percubaan akan menjadi lebih besar, suatu hari nanti. Siapa yang rugi? Tentunya generasi kita akan datang.

“Mahukah kita melihat mereka terkontang-kanting mencari sejarah sebenar tanah air sendiri? Ini hakikat yang perlu kita akur jika perkara ini terus dipandang remeh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Wanita UMNO menggesa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, segera menyiasat perkara berkenaan dan mengambil tindakan sebelum komik terbabit diedarkan secara meluas ke seluruh negara.

Semalam, KPM menafikan pihaknya membenarkan komik ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ diedar ke sekolah seluruh negara.

KPM dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah sudah diarah memastikan semua sekolah tidak menerima serta membuat edaran komik daripada mana-mana pihak atau pembekal.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak dalam hantaran melalui laman Facebook beliau, mempersoalkan komik didakwa berbentuk propaganda diedar ke sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan, berhubung DAP serta komunis, selain memburukkan Malaysia dan dirinya sekeluarga.

Bekas Perdana Menteri itu turut memuat naik gambar sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang didakwa menyebarkan propaganda itu.

Berdasarkan gambar dikongsikan, surat bertarikh 8 Oktober 2019 dan keterangan surat itu ditujukan kepada pengetua sekolah.

Komik itu diterbitkan pada April 2019 dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan, Ching Po Ling.