Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Wanita Kerugian RM4,200 Ditipu ‘Kenalan’ Luar Negara

Wanita Kerugian RM4,200 Ditipu ‘Kenalan’ Luar Negara

KUANTAN, Teruja untuk menerima pelbagai barangan berjenama dari luar negara menyebabkan seorang kerani wanita syarikat insurans kerugian RM4,200 selepas ditipu ‘kenalan’ lelaki yang baru dikenali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 24 tahun mendakwa barangan itu kiriman lelaki bernama James, kononnya warga Amerika Syarikat yang menetap di London.

Katanya, mereka berkenalan menerusi laman sosial pada 23 Jun lalu, dan hadiah itu adalah tanda penghargaan kerana mangsa sudi berkawan dengan dirinya.

“James dikatakan menghantar baju, kasut, telefon pintar dan barang kemas melalui kurier beberapa hari selepas mereka berkenalan sebelum mangsa menerima panggilan telefon kononnya daripada wakil syarikat penghantaran pada 27 Jun lalu.

“Suspek mendakwa barangan itu tidak dapat dihantar kerana sangkut di pejabat Kastam disebabkan bayaran duti masih belum dijelaskan,” katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Wazir berkata, mangsa memindahkan wang bagi bayaran itu ke dalam akaun yang diberikan suspek, namun berasa curiga apabila diarahkan untuk membuat bayaran lain.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Top