MH Online

Laman Suara Rakyat

Wanita Ditahan Ugut Bunuh Ibu Sendiri

Wanita Ditahan Ugut Bunuh Ibu Sendiri

KEPALA BATAS, Seorang wanita ditahan awal pagi semalam selepas dipercayai mengamuk dan mengugut untuk membunuh ibunya dalam kejadian di Permatang Buloh di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam, suspek berusia 31 tahun itu dikatakan mengamuk berpunca daripada pengambilan dadah di rumahnya dengan kejadian dilaporkan anak saudara suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata suspek yang ditahan jam 1 pagi semalam dikatakan memegang pisau dan mengugut untuk membunuh ibunya yang berusia 73 tahun dan mahu membakar rumah.

Selain itu, katanya, hasil rakaman percakapan pengadu yang berusia 21 tahun juga mendapati suspek sebelum ini ada meracau, ketawa, senyum dan bercakap sendirian.

“Hasil siasatan mendapati suspek dikatakan kerap mengamuk di rumah berpunca daripada pengambilan dadah. Ketika kejadian, bapa saudara pengadu dan tiga anak suspek, masing-masing berusia sembilan, tujuh dan lima tahun yang dijaga mangsa turut berada di rumah.

“Bapa saudara pengadu tinggal berasingan namun kerap datang ke rumah mangsa kerana bimbang dengan keselamatan mangsa dan tiga anak suspek, sejak suami mangsa meninggal dunia, baru-baru ini.

“Kita juga merampas sebilah pisau berhulu besi, disyaki digunakan suspek ketika kejadian. Ujian saringan air kencing terhadap suspek gagal dijalankan kerana dia enggan bekerjasama dan masih dalam pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah dengan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.