MH Online

Laman Suara Rakyat

Wajar Bawa Pulang Rakyat Masing-Masing Dalam Tempoh PKP

Wajar Bawa Pulang Rakyat Masing-Masing Dalam Tempoh PKP

KUALA LUMPUR, Malaysia sangat mengalu-alukan negara luar untuk membawa pulang rakyat mereka yang tamat tempoh kuarantin di negara ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19 ketika ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika ini ada negara yang menutup terus pintu masuk ke negara mereka bagi membendung penularan COVID-19.

Katanya, dasar itu menyebabkan ada warganegara asing tidak dapat pulang ke negara masing-masing dan terpaksa menetap di Malaysia sepanjang tempoh ini.

“Oleh itu, mesyuarat hari ini memutuskan Kementerian Luar diminta berbincang dengan pejabat kedutaan negara luar di Kuala Lumpur untuk memastikan kebajikan rakyat mereka dijaga dengan baik di negara kita.

“Kita mengalu-alukan kalau ada negara luar yang ingin membawa pulang rakyat mereka yang terkandas di Malaysia. Ramai rakyat kita yang terkandas di luar negara dan tidak dapat balik, kita uruskan bawa mereka pulang.

“Kalau ada negara lain nak buat perkara sama, kita alu-alukan. Kita juga harap kedutaan mereka dapat berbincang dengan Kementerian Luar untuk bantu bawa pulang rakyat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.