Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Vigneswaran Mahu Saman Anthony Loke

Vigneswaran Mahu Saman Anthony Loke

KUALA LUMPUR, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran akan menyaman Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Ini berhubung dakwaan menteri pengangkutan itu menyalahgunakan kuasanya sebagai seorang menteri berhubung kejadian membabitkan dirinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa hari lalu.

Vigneswaran yang juga merupakan Presiden MIC itu berkata, tindakan saman itu akan diambil atas kapasiti peribadi.

Katanya, tindakan Siew Fook yang telah mendedahkan video beliau yang didakwa telah melanggar  peraturan keselamatan di KLIA telah melangkaui kapasitinya sebagai seorang menteri.

“Saya akan menyaman sebagai individu dan bukan kapasitinya sebagai menteri.

“Dia menteri dia bukan ahli Parlimen pembangkang atau pegawai penyiasat,” katanya dalam sidang medianya di Dewan Negara hari ini.

Mengulas lanjut, menjawab tuduhan Siew Fook keatasnya, jelasnya, menteri pengangkutan itu membuat tuduhan ke atasnya sebagai penceroboh, namun beliau lupa bahawa MAHB ialah syarikat senaraian awam.

“Jadi bila nak gunakan video tersebut dia sepatutnya kena ada hak sebelum mendedahkannya tapi dia tak guna pakai. Dia guna pakai video saya dengan anak-anak saya sekali.

“Anak-anak saya tidak ada masalah. Yang ada masalah itu saya,”  katanya.

Vigneswaran berkata tindakan saman terhadap Siew Fook diambil atas kapasitinya sebagai seorang bapa bagi melindungi maruah isteri dan anaknya yang telah tercemar akibat insiden itu.

Katanya, video yang didedahkan juga tidak menjelaskan perkara sebenar yang telah berlaku dan seterusnya mengundang banyak kritikan negatif terhadap beliau dan keluarganya.

“Ini memalukan kepada menteri  yang dia langsung tidak ada sensitiviti sebagai seorang lelaki melindungi anaknya.

“Menteri ini perlu gunakan akal kalau ada. Saya akan saman Loke sebagai individu dan bukan menteri sebab dia gunakan MAHB untuk keluarkan video yang di bawah akta perlindungan data dan semua ini hanya untuk memalukan saya selaku yang Dipertua Negara.

Vigneswaran dalam pada itu bertegas  tidak akan membuat sebarang permohonan maaf meskipun didesak Siew Fook.

“Nak saya minta maaf kepada siapa? Kepada Tuhan?

“Adakah ini sistem perundangan yang baru yang mana tidak perlu ada mahkamah atau apa-apa terus dia buat kesimpulan bahawa saya yang salah,” katanya.

Terdahulu, kejadian berlaku pada 14 November lalu pada 10.14 malam ketika presiden MIC itu diminta berhenti oleh pegawai yang ditempatkan di laluan VIP kerana tidak mematuhi kod pakaian.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikeluarkan pihak berkuasa, Vigneswaran tidak berhenti dan meneruskan turun ke bawah di bahagian lobi VIP.

Leave a Reply

Top