Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Video Seks : Polis Panggil Shamsul Iskandar

Video Seks : Polis Panggil Shamsul Iskandar

AYER KEROH, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hari ini memberi keterangan kepada pihak polis berhubung isu penyebaran video intim mirip seorang menteri Kabinet, baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan beliau sendiri kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Hang Tuah Jaya di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) petang tadi, sebelum hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada jam 6.30 petang.

Sehingga jam 8 malam tadi beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, masih memberi keterangan susulan pembabitan Setiausaha Sulit Kanan beliau, Muhammad Haziq Abdul Aziz, yang turut dikaitkan dengan rakaman video itu.

Terdahulu, beliau memaklumkan sepasukan anggota dan pegawai polis dari Bukit Aman menghubungi pejabatnya di Putrajaya semalam, memintanya hadir memberi keterangan di IPK Melaka, hari ini.

Semalam, Kementerian Industri Utama menggantung tugas Muhammad Haziq serta-merta dan memberi tempoh tiga hari kepadanya untuk menjawab surat tunjuk sebab.

Tindakan itu dibuat beberapa jam selepas Muhammad Haziq mempersoalkan kejujuran kerajaan PH ekoran pemimpin kerajaan menuduhnya mempunyai agenda politik dengan pengakuannya itu.

Shamsul juga difahamkan sehingga kini masih gagal menghubungi Muhammad Haziq sejak Selasa lalu, malah cubaan menghubungi bekas setiausaha sulitnya itu menerusi khidmat aplikasi WhatsApp juga tidak dibalas.

Leave a Reply

Top