MH Online

Laman Suara Rakyat

Vaksin Influenza Selamat Digunakan

Vaksin Influenza Selamat Digunakan

KUALA LUMPUR, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan dua jenama vaksin influenza iaitu Vaxigrip Tetra dan SKYCellflu Quadrivalent yang diberhentikan sementara penggunaannya sebelum ini, boleh diteruskan semula.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata keputusan membenarkan semula penggunaan dua jenama vaksin dari Korea Selatan ini dibuat berdasarkan penilaian keselamatan yang dijalankan ke atas produk berkenaan.

“Pihak KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah menjalankan penilaian risiko terperinci bagi dua jenama vaksin itu berdasarkan informasi diterima daripada Agensi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Korea (KDCA).

“Penilaian risiko juga berdasarkan laporan keselamatan tempatan dan global, maklumat keselamatan bagi kedua-dua jenama vaksin dan maklumat yang diterima daripada pemegang pendaftaran produk yang terbabit serta badan regulatori antarabangsa yang lain.

“Justeru berdasarkan penilaian keselamatan yang dijalankan ke atas produk berkenaan, KKM merumuskan bahawa penggunaan dua jenama vaksin ini boleh diteruskan, ” katanya melalui kenyataan, di sini.

Sebelum ini, dua jenama vaksin itu dikaitkan dengan kes kematian di Korea Selatan menyebabkan KKM memberhentikan sementara penggunaannya pada 28 Oktober lalu.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, hasil semakan lanjut menunjukkan tiada kes kematian yang dilaporkan di negara ini susulan pemberian mana-mana vaksin influenza.

Beliau berkata, hasil penilaian laporan pengujian oleh NPRA yang dijalankan pengilang, membuat pemeriksaan rangkaian sejuk dan menjalankan pengujian fizikal melalui aktiviti ‘Vaccine Lot Release’ bagi semua vaksin mendapati vaksin influenza termasuk dua jenama berkenaan mematuhi standard kualiti ditetapkan.

“Dapatan itu juga diperoleh selepas KKM menilai kualiti produk dan menyemak data laporan kesan advers (kecelakaan) susulan imunisasi (AEFI) tempatan serta global, meliputi profil keselamatan bagi semua vaksin influenza, termasuk dua jenama vaksin berkenaan.

“Kesan advers yang dilaporkan adalah yang biasa berlaku serta sudah didokumentasikan. Oleh itu, KKM tidak mengesan sebarang isu kualiti atau keselamatan yang memerlukan tindakan lanjut, ” katanya.

Beliau berkata, sejumlah 1.5 juta dos vaksin influenza dibawa masuk ke Malaysia sehingga Oktober 2020.

Katanya, KKM komited menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk berdaftar termasuk vaksin yang terdapat di pasaran sentiasa terjamin.

“Orang awam juga boleh melaporkan kesan advers susulan imunisasi ini sama ada melalui profesional kesihatan atau melaporkan terus kepada NPRA melalui laman sesawang, www.npra.gov.my, ” katanya.

Mengenai kes kematian di Korea Selatan itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga 31 Oktober lalu, pihak KDCA mengesahkan bahawa kebarangkalian adalah sangat rendah untuk mengaitkan vaksin influenza sebagai punca kematian seperti yang dilaporkan.

Beliau berkata, laporan siasatan bagi 72 kes daripada 83 kes kematian (11 kes masih dalam siasatan) itu menunjukkan bahawa, punca kematian adalah disebabkan penyakit sedia ada dihidapi oleh individu berkenaan atau sebab lain yang tiada hubung kait dengan vaksin influenza yang diberikan.

“Pihak KDCA juga mengesahkan tiada jenama, pengilang atau nombor kelompok vaksin tertentu yang boleh dikaitkan dengan kes kematian yang berlaku, ” katanya.