MH Online

Laman Suara Rakyat

Usul Undi Tidak Percaya Tak Wajar

Usul Undi Tidak Percaya Tak Wajar

KANGAR, Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat dilihat tidak wajar memandangkan keadaan negara sedang berdepan wabak COVID-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan berkata usul berkenaan tidak sesuai untuk dibawa ke Parlimen memandangkan pelbagai tekanan hebat yang sedang dihadapi barisan Kabinet.

“Saya kesal dengan usul undi tidak percaya yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mahamad kerana ketika ini, Tan Sri Muhyiddin dan seluruh Kabinet berhempas pulas membantu rakyat, tidak wajar memberi keutamaan yang berbentuk kepentingan peribadi.

“Usul sebegini seakan tidak peka dengan kesusahan rakyat dalam menangani COVID-19 serta tekanan ekonomi, ini bukan masanya dan sekarang bukan masa membalas dendam kesumat peribadi,” dipetik sebagai berkata.

Hari ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof, memaklumkan menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin daripada bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata tindakan Dr Mahathir adalah berbentuk peribadi yang membelakangkan kepentingan parti, selain usul berkenaan tidak pernah dibincangkan langsung dalam kalangan anggota MPT BERSATU.

“Alangkah baiknya jika beliau (Dr Mahathir) bertemu Muhyiddin untuk berbincang seperti yang diinginkan Muhyiddin sendiri sebelum ini.

“Jika dia bimbang sekiranya pada pertemuan itu nanti akan ada penolakan daripada MPT berhubung tawaran agar BERSATU kembali kepada PH, beliau boleh bertemu secara empat mata atau peribadi dengan Muhyiddin.

“Bukan dengan (mengemukakan usul tidak percaya) cuba menjatuhkan kerajaan parti sendiri kerana siapa pula yang akan dapat faedah daripada usul ini?” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful berkata beliau memuji keputusan Mohamad Ariff kerana menerima usul berkenaan berdasarkan peraturan kerana ia jelas menunjukkan Kabinet pimpinan Muhyiddin tidak mengongkong Parlimen.