Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Usul Undi Percaya Hanya Pandangan Peribadi PAS

Usul Undi Percaya Hanya Pandangan Peribadi PAS

KOTA BHARU, Keputusan PAS mahu mengemukakan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, untuk dibentang serta dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 13 Julai ini adalah pandangan peribadi parti itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, enggan mengulas lanjut perkara itu.

“Soal undi percaya itu pendapat sporadik dan saya berharap semua pihak bersabar.

“Pendapat peribadi memang boleh namun kita kena uruskan parti kita dengan baik,” katanya Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu pada sidang media selepas mengadakan lawatan di perusahaan kuih Akok Pok Long di Kampung Padang Mengkali, di sini, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, bahawa parti itu akan mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat 13 Julai ini.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, usul itu dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang disifatkan parti itu sebagai prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara mulai Mac lalu.

Beliau berkata, PAS yakin kepemimpinan Perdana Menteri akan terus mendapat sokongan, malah sanjungan dari rakyat pelbagai kaum dengan perkhidmatan terbaik atas sokongan dan komitmen seluruh jentera kerajaan di peringkat Persekutuan mahupun sebahagian besar kerajaan negeri.

“Segala pakej rangsangan ekonomi yang digerakkan oleh kerajaan pula disambut baik oleh semua sektor yang bergerak serentak ke arah pemulihan ekonomi negara,” katanya sambil memaklumkan PAS yakin usul itu akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen apabila dibentangkan nanti.

Leave a Reply

Top