MH Online

Laman Suara Rakyat

Usul Di Dewan Rakyat Dikendali Mengikut Undang-Undang

Usul Di Dewan Rakyat Dikendali Mengikut Undang-Undang

KUALA LUMPUR, Sebarang usul dibuat kepada Dewan Rakyat mengikut peraturan mesyuarat termasuklah usul undi tidak percaya, akan dikendalikan mengikut undang-undang sedia ada.

Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, merujuk surat yang dikongsi kepada media oleh Pejabat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini.

“Perlu saya tegaskan bahawa kedudukan usul undi tidak percaya di dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah unik kepada sistem yang kita amalkan.

“Malah, sistem yang diamalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan kita di mana sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang Menteri.

“Adapun saya ingin tekankan bahawa apa-apa usul yang dibuat dan diberi pemberitahuannya kepada saya ataupun Setiausaha Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat akan saya kendalikan mengikut undang-undang sedia-ada,” katanya melalui kenyataan semalam.

Terdahulu, surat ditulis Tengku Razaleigh pada 25 September lalu dikongsi kepada media, merujuk usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada persidangan Dewan Rakyat Mei lalu dan dibawa ke persidangan Julai.

Turut didedahkan surat jawapan Azhar bertarikh 29 September, yang antara lain menyatakan dakwaan Perdana Menteri tidak membenarkan usul tidak percaya dibahaskan adalah tidak benar, selain turut menjelaskan susunan aturan urusan mesyuarat lalu yang dikendalikan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof.

Azhar pada masa sama, mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu kerana memberi peluang kepadanya untuk memberi penerangan mengenai kedudukan usul undi tidak percaya yang difikirkan dihalang daripada dibahaskan dengan cara penyenaraiannya di penghujung senarai perbahasan.

“Saya telah menjawab kemusykilan Tengku Razaleigh secara bertulis sepertimana dalam surat saya di atas (yang tersebar).

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tengku Razaleigh di atas kesudian memberi peluang kepada saya untuk menerangkan kedudukan perkara itu secara lisan kepada beliau,” katanya.