Kurang kesedaran mengenai manfaat dan kelebihan platform digital menyebabkan ramai usahawan Bumiputera agak ketinggalan dalam dunia perniagaan.

Sikap usahawan yang tidak peka dan kurang pendedahan terhadap perkembangan aliran semasa, khususnya perniagaan dalam talian, turut menjadi punca perniagaan mereka berada di takuk lama.

Presiden Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata, kebanyakan yang masih menjalankan perniagaan secara tradisional ini berlaku dalam kalangan usahawan mikro.

Katanya, ini tidak seharusnya berlaku, kerana platform digital mampu membuka luas peluang perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya sedar senario ini banyak berlaku dalam kalangan usahawan luar bandar. Ini berpunca daripada kurang pendedahan terhadap perniagaan dalam talian dan juga kekangan kemudahan digital.

“Justeru galakan seperti perkongsian ilmu dan maklumat amat penting supaya mereka juga mampu berdaya saing dan meningkatkan ekonomi perniagaan masing-masing,” katanya pada sidang media Pra-Konvensyen Industri Digital Bumiputera (KIDB), di ibu pejabatnya, di sini, hari ini.

Program terbabit mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Abdul Rahim berkata, KIDB yang bakal berlangsung pada 16 Oktober depan di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) adalah sebagai galakan supaya usahawan Bumiputera bergiat aktif secara digital.

“Selain memberi penerangan mengenai peluang keusahawanan dan pekerjaan dalam industri digital, kita juga akan memperlihatkan isu dan masalah usahawan Bumiputera untuk memulakan perniagaan dalam talian.

“KIDB juga berperanan menyuntik semangat Bumiputera supaya lebih agresif dalam menyahut cabaran dan merebut peluang yang ada,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *