KUALA TERENGGANU, Jabatan Pelancongan Terengganu dan Tourism Malaysia akan bekerjasama untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan sewa khas dari selatan China ke Terengganu.

Pengarah Pelancongan Malaysia di Guangzhou, Sharon Ho berkata setakat ini dua syarikat penerbangan berminat membuat penerbangan dari Shenzhen dan Guangzhou ke Kuala Terengganu dengan kekerapan antara tiga dan empat kali seminggu bermula April tahun depan.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya membawa delegasi dari China bagi melihat sendiri produk pelancongan yang mampu menarik minat pelancong China ke Terengganu termasuk kemudahan lain seperti  Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus dan jeti yang terdapat di pulau-pulau.

“Pelancong dari China sangat sukakan pulau dan pantai di Terengganu. Bagaimana pun mereka menghadapi masalah kerana tidak terdapat penerbangan terus ke Terengganu dan terpaksa transit terlebih dahulu di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

“Oleh itu beberapa perbincangan dan promosi dengan syarikat penerbangan di China akan dibuat bagi menarik minat mereka untuk menyediakan penerbangan terus ke negeri ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau menghadiri majlis makan malam bersama delegasi China malam tadi yang turut dihadiri Pengarah Pelancongan Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Razak.

Ho berkata tahun lepas pelancong dari China ke Malaysia dianggarkan seramai 2.2 juta orang dengan destinasi pilihan mereka selain Terengganu ialah Pulau Pinang, Sabah, Melaka, Johor dan Pulau Langkawi.

Beliau berkata buat masa ini penerbangan terus tidak dapat direalisasikan kerana pulau-pulau di Terengganu akan ditutup selama empat bulan iaitu dari bulan November hingga Mac kerana musim tengkujuh dan ini akan merugikan syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan mereka.

“Justeru kita mempromosi beberapa produk pelancongan dengan menawarkan percutian ke kawasan daratan seperti Tasik Kenyir serta mengadakan program kebudayaan dan makanan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *