MH Online

Laman Suara Rakyat

Usaha Anwar Takkan Berhasil

Usaha Anwar Takkan Berhasil

PUTRAJAYA, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yakin dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu tidak akan berhasil.

Tuan Ibrahim sebaliknya menyifatkan, Anwar hanya cuba mewujudkan sentimen untuk mendapatkan sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

“Disebabkan itu, saya mencabar beliau, kalau ada senarai itu, kita mahu tengok atau sekurang-kurangnya menyatakan jumlah (Ahli Parlimen) yang didakwa menyokongnya.

“Selepas pengumuman beliau semalam, saya memeriksa dengan rakan (Ahli Parlimen) daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan UMNO, namun ia tidak berlaku. Justeru, siapa Ahli Parlimen yang menyokong itu?

“PAS sudah keluarkan kenyataan menerusi Setiausaha Agung (parti yang menyokong kerajaan) semalam yang menolak dakwaan itu. Bagi PAS, saya boleh sahkan 18 Ahli Parlimen kami menyokong kerajaan sedia ada,” dipetik sebagai berkata.

Anwar semalam, mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Beliau mendakwa, sokongan itu adalah daripada Ahli Parlimen pelbagai parti termasuk yang berpihak kepada kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah mereka yang menyokongnya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, berkata Anwar mungkin cuba memberi gambaran bahawa Kerajaan Persekutuan akan bertukar.

“Isunya sekarang adalah kerajaan negeri perlu selaras dengan kerajaan pusat, jadi untuk pastikan mereka menang di Sabah, sokongan perlu diberikan kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN). Mungkin itu strateginya,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa parti itu dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menghalang mana-mana Ahli Parlimen yang mahu menyokong Anwar, Tuan Ibrahim berkata, beliau belum dapat berhubung dengan Ahmad Zahid berhubung perkara itu.

“Saya tidak mahu campur sebab ia urusan parti lain. Namun, dalam konteks demokrasi, memang menjadi hak Ahli Parlimen untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana parti pun, cuma dalam konteks PAS, semua Ahli Parlimen perlu mengikut keputusan parti.

“Disebabkan itu, sebelum bertanding, kita perlu bai’ah iaitu janji setia, kalau dia lompat parti, dia kena kosongkan kerusi kerana sudah khianat kepada mandat rakyat,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, ketika negara masih berdepan ancaman COVID-19 dan ekonomi negara masih belum stabil, tumpuan seharusnya diberi kepada membangunkan negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

“Kalau boleh lompat sana, lompat sini, kerajaan boleh terganggu. Apa saja rancangan boleh berubah dan menimbulkan ketidakselesaan,” katanya.