GONG BADAK, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus melebarkan lagi jaringan hubungan dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Turkey Youth Foundation (TUGVA) dan tiga buah universiti di Turki.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, tiga universiti yang terlibat adalah Istanbul Sabahattin Zaim University, Istanbul Sehir University dan Necmettin Erbakan University.

“Tujuan MoU berkenaan adalah untuk memperluaskan rangkaian kerjasama antara universiti di Malaysia dan Turki.

“Ini adalah langkah yang proaktif bagi membincangkan bidang akademik, selain penyelidikan dan penerbitan.

“Kita berkongsi idea dan matlamat sama dalam membangunkan negara, yang mana melalui MoU ini kita akan memberi fokus mengenai pertukaran pelajar, pertukaran pensyarah dan perkongsian tenaga pakar,”katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Katanya lagi, dengan adanya pertukaran kepakaran dan pengalaman tenaga akademik dalam pelbagai bidang berkaitan akan memberikan idea baharu, sekali gus membangunkan UniSZA setanding universiti tempatan di negara ini.

“Kerjasama ini secara tidak langsung akan menjadi komitmen yang tinggi kepada pihak pengurusan UniSZA dalam mempertingkatkan segala ilmu untuk pelajar,”katanya.