Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Undang-Undang Berita Palsu Ancam Kebebasan Akademik

Undang-Undang Berita Palsu Ancam Kebebasan Akademik

Hampir 100 pakar akademik seluruh dunia meluahkan kebimbangan berhubung undang-undang baru dicadangkan Singapura mengenai ‘berita palsu’, memberi amaran ia boleh mengancam kebebasan akademik dan menjejaskan cita-cita republik itu untuk menjadi hab pendidikan global.

Bulan ini, kerajaan mendedahkan rang mengandungi langkah tegas termasuk kuasa kepada menteri mengarahkan laman media sosial seperti Facebook, Google dan Twitter untuk meletakkan amaran bersebelahan status yang disifatkan pihak berkuasa sebagai palsu, dan dalam kes ekstrim, membuang kandungan itu.

Jika tindakan itu dianggap berniat jahat dan merosakkan kepentingan Singapura, syarikat berkenaan dengan dikenakan denda sehingga Sg$1 juta (RM3.04 juta), manakala individu boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun.

Pihak berkuasa Singapura menegaskan langkah berkenaan perlu untuk menghalang berita palsu atas talian mencetuskan perpecahan sosial, tetapi tindakan itu membangkitkan kemarahan kumpulan kebebasan akhbar dan gergasi teknologi seperti Facebook dan Google.

Kini 97 ahli akademik seluruh dunia yang pakar mengenai Singapura dan Asia menandatangani surat memberi amaran cadangan itu ‘mungkin menghalang biasiswa dan mencetuskan bahaya kepada dunia akademik’.

“Kami bimbang cadangan itu akan memberi akibat tidak diingini kepada sarjana dan penyelidikan di Singapura,” kata kumpulan berkenaan, termasuk pakar akademik dari Harvard dan Yale, selain institusi pendidikan di Britain, Australia dan beberapa negara Asia.

Surat itu, yang disiarkan hujung minggu lalu, turut memberi amaran undang-undang itu akan menjejaskan usaha republik berkenaan membangunkan diri menjadi hab yang diiktiraf antarabangsa untuk kecemerlangan dalam pendidikan tinggi.

Singapura memiliki beberapa institusi pendidik tinggi terkemuka, yang menarik pakar akademik seluruh dunia. — AFP

Leave a Reply

Top