Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UMT Rangkul 4 Anugerah Buku Negara

UMT Rangkul 4 Anugerah Buku Negara

Oleh : Hidayat Fansyuri

Pembabitan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam usaha menerbitkan buku ilmiah berimpak tinggi untuk bacaan golongan akademik mahupun umum terbukti apabila dianugerahkan 4 Anugerah Buku Negara semasa Majlis Anugerah Buku Negara 2017, hari ini.

Dua anugerah tersebut diperolehi melalui Kategori Pengajian Tinggi iaitu Buku Ilmiah Terbaik (Tenggiling Sunda Khazanah Alam Malaysia – Pengarang Muhammad Hafiz Sulaiman & Chong Ju Lian) dan Buku Terjemahan Terbaik (Ikan Lut Sinar – Pengarang Ying Giat Seah & Mazlan Abd Ghafar) manakala dua lagi anugerah diperolehi melalui Kategori Industri iaitu Buku Zoologi Terbaik (Evolusi dan Biogeografi Mamalia Malayisa – Pengarang Mohd Tajuddin Abdullah) serta Buku Biografi Terbaik (Tan Sri Samsudin Osman : Demi Perkhidmatan Awam dan Negara Kerana-Nya Jua – Pengarang Noraien Mansor).

Pengarah Penerbit UMT, Dato’ Prof Madya Dr. Noraien Mansor berkata, UMT melakar sejarah dengan kemenangan besar yang diperolehi pada tahun ini.

“Sejak 2013 UMT berjaya merangkul satu anugerah sahaja pada setiap tahun, tetapi untuk 2017 UMT diberi penghormatan apabila berjaya memperolehi 4 Anugerah Buku Negara dan ini tentunya akan menjadi dorongan buat UMT untuk terus menerbitkan buku ilmiah berkualiti tinggi selaras dengan Dasar Buku Negara (DBN) serta Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Anugerah ini dilihat sebagai satu kejayaan besar UMT dalam menghasilkan karya berbentuk ilmiah dan ia juga tidak akan berjaya tanpa sokongan padu dari pihak penulis terutamanya pensyarah UMT sendiri” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Strategik (PKS) UMT, hari ini.

Anugerah Buku Negara diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 28 April hingga 7 Mei 2017.

Leave a Reply

Top