Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UMNO Tidak Bincang Sertai Gabungan PH

UMNO Tidak Bincang Sertai Gabungan PH

KUALA LUMPUR, Ketika gembar-gembur yang dicanang kebelakangan ini, UMNO mengesahkan tidak pernah membincangkan isu kempen atau cadangan menyertai Pakatan Harapan (PH) tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Menepisnya sebagai bukan isu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata UMNO tidak terbabit dengan kempen sedemikian.

Sebarang keputusan berkaitan masa depan parti itu akan diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Segala perkara (keputusan) berkaitan kerjasama tidak kira dengan parti apa pun termasuk kerajaan, mesti datang daripada parti dan biasanya perkara besar adalah keputusan MKT.

“Sekarang tidak ada perbincangan dalam MKT, jadi tiada isu di sini,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Berhubung nama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Husein, yang dikaitkan dengan kempen itu, beliau berkata, tiada cadangan seumpamanya diterima parti.

Ditanya sama ada bersetuju jika UMNO menyertai PH tanpa DAP dan AMANAH, Ismail berkata, perkara itu perlu diputuskan parti.

“Belum dibincangkan, jadi saya tidak boleh kata. Tidak boleh nak setuju atau tidak sebab nanti anda petik saya.

“Saya sudah kata segala keputusan mesti datang daripada parti. Saya beri pandangan nanti, kamu semua petik nama saya, saya susah,” katanya.

Majlis Setiausaha PH dalam kenyataannya semalam menyifatkan tindakan Hishammuddin yang didakwa mencadangkan UMNO dan PAS menyertai kerajaan PH tanpa penyertaan DAP dan AMANAH, akan menghidupkan kembali budaya politik dan pentadbiran negara berasaskan kaum.

Leave a Reply

Top