Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > UMNO Tiada Aset Berbilion

UMNO Tiada Aset Berbilion

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO tidak memiliki aset berbilion ringgit seperti diperkatakan segelintir pihak.

Katanya, berdasarkan laporan kewangan yang dikumpulkan dakwaan itu tidak benar.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memberikan mandat kepada saya untuk melantik Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengusahakan harta UMNO dikembalikan semula.

“Sebelum ini ada pihak yang membayangkan seolah-olah kita (UMNO) ada aset berbilion ringgit tetapi apabila saya melihat aset ini daripada pertemuan dengan syarikat dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemegang amanah serta pemegang saham, harta kita tidak sebanyak itu.

“Selepas itu, kita dapati ada penama yang dilantik menguruskan aset UMNO ini enggan mengembalikan harta parti, justeru kita akan ambil tindakan undang-undang,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau faham isu itu banyak dilontarkan ahli parti kerana mereka bimbang dan berharap penjelasan itu diterima baik.

Katanya, beliau akan memastikan langkah menuntut semula harta itu jadi keutamaan serta tindakan undang-undang akan disegerakan.

“Pengembalian ini akan dibawa Jawatankuasa Pengurusan parti dan dibentangkan secara telus kepada semua peringkat parti,” katanya.

Beliau menjelaskan tidak akan membiarkan pemegang amanah harta UMNO mengambil harta parti itu.

Leave a Reply

Top