PASIR SALAK, UMNO telah melaksanakan dan menjayakan pelbagai agenda pembangunan untuk keperluan dan manfaat rakyat di negara ini, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata antara agenda pembangunan yang dilaksanakan parti tunjang bangsa Melayu itu ialah infrastruktur, pendidikan, ekonomi, kesihatan termasuk usaha membasmi kemiskinan tegar di negara ini.

“Sepanjang 71 tahun penubuhannya, UMNO telah membina bangsa dan negara ini menjadi maju dengan perubahan struktur ekonomi negara daripada berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan industri, perkhidmatan dan ekonomi digital.

“UMNO telah melalui pelbagai proses pembangunan dan inilah masanya kita perlu tunjukkan kepada rakyat di negara ini apa yang UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah lakukan selama ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Seberang Perak kali ke-39 di sini hari ini.

Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata sesetengah pihak termasuk pembangkang yang sering memandang remeh dan memperlekehkan usaha UMNO dan BN selama ini sedikit pun tidak mematahkan semangat parti untuk terus berjuang membela rakyat pelbagai kaum, budaya dan agama di negara ini.

“Sebagai anggota UMNO, kita perlu berasa bangga dengan kejayaan yang dikecapi walaupun diuji dengan pelbagai cabaran dan rintangan.

Apa yang penting ketika ini ialah kita perlu terus memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat supaya mereka terus memberi sokongan kepada UMNO dan BN untuk menerajui kerajaan, katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *