MH Online

Laman Suara Rakyat

UMNO Tak Bincang Siapa Calon TPM

UMNO Tak Bincang Siapa Calon TPM

KUALA LUMPUR, Mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Isnin lalu tidak berbincang dan memutuskan calon dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO untuk diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata MKT UMNO juga tidak pernah dimaklumkan berkenaan sebarang permintaan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, untuk meminta menamakan calon timbalannya.

“Tak tahu (UMNO diminta kemuka calon Timbalan Perdana Menteri). Tiada (dibincang dalam mesyuarat MKT),” katanya ringkas menjawab persoalan mengenai laporan kononnya Muhyiddin menunggu nama dari UMNO untuk mengisi jawatan berkenaan seperti dilapor beberapa portal media.

Portal itu melaporkan kononnya Muhyiddin menunggu nama Ahli Parlimen UMNO dikemuka parti itu untuk dipilih sebagai timbalannya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, dalam Twitternya menyifatkan laporan portal berkenaan sebagai karut.

“Tolong berhentikan laporan spekulatif karut marut..be fair to pm (berlaku adil kepada Perdana Menteri)..be fair to umno too (berlaku adil kepada UMNO juga),”katanya yang mengulang ciap laporan media berkenaan.

UMNO pada Isnin memutuskan untuk terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dan menolak sebarang kerjasama dengan PKR dan DAP.

Namun, spekulasi kini bertiup berkenaan kemungkinan Muhyiddin akan mengumumkan nama timbalannya dari kalangan pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO.

Antara nama yang disebut-sebut termasuk Ahli Parlimen Bera yang juga Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Sembrong yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selain itu, turut disebut, Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Annuar, yang juga Ahli Parlimen Ketereh dan Menteri Wilayah Persekutuan.