MH Online

Laman Suara Rakyat

UMNO Sudah Pasti Kecewa Dengan Kabinet Ismail

UMNO Sudah Pasti Kecewa Dengan Kabinet Ismail

KUALA LUMPUR, Kabinet baharu yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengecewakan UMNO, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, senarai kabinet yang dipilih oleh Ismail Sabri itu juga tidak mengejutkan dengan mengambil kira pilihan yang dimiliki oleh Naib Presiden UMNO itu.

“Ramai orang bertanya apakah reaksi saya kepada kabinet yang baru diumumkan. Saya telah memberikan ulasan bahawa tak dapat nak duga selain daripada mereka yang dipilih kerana inilah sahaja pilihan yang ada.

“Sudah tentu UMNO kecewa dengan barisan kabinet terbaharu ini. Mari kita berdoa agar gaji mereka ini dibayar sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah yang dibayar kepada mereka di bawah Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai senarai kabinet yang menganggotai kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.

Barisan kabinet baharu yang dibentuk tanpa Timbalan Perdana Menteri itu terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.

Ahli Parlimen Bera itu dilihat mengekalkan sebahagian besar daripada menteri yang dilantik di bawah kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini dengan beberapa orang daripadanya diberikan jawatan di kementerian yang berbeza.