MH Online

Laman Suara Rakyat

UMNO Perlu Kerja Keras Pastikan Kemenangan Rantau

UMNO Perlu Kerja Keras Pastikan Kemenangan Rantau

KUALA LUMPUR, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui beliau mungkin tidak dapat bergantung kepada pengundi PAS pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kerana bilangan ahli PAS yang kecil di kawasan itu.

Beliau yang kini menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO berkata, walaupun menghargai PAS kerana komited untuk membantunya dalam PRK itu, namun beliau terpaksa bekerja keras jika mahu mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

Mohamad turut mengakui beliau perlu berhati-hati dan bekerja kuat untuk memastikan DUN Rantau kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN) kerana ia turut menjadi kubu PKR.

“Di Rantau, PAS tidak pernah ada. Selepas dua kemenangan PRK, PAS akan bantu saya, tetapi anggota dan penyokong PAS tidak banyak di situ.

“Itu yang terletak (beban) kepada saya. Bergantung kepada saya. Saya kena cuba yang terbaik,” katanya kepada media selepas mesyuarat jawatankuasa induk UMNO dan PAS di ibu pejabat UMNO, semalam.

Pada sidang medianya sebelum itu, Mohamad berkata, UMNO dan PAS tidak akan bersatu sebagai satu parti, tetapi akan bekerjasama sebagai pembangkang untuk penyatuan ummah dan akan menumpukan kerjasama bagi menghadapi PRK.

Berdasarkan daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), DUN Rantau mempunyai 20,472 pengundi yang mempunyai komposisi 53.43 peratus pengundi Melayu, Cina (18.81 peratus), India (27.01 peratus) dan lain-lain (0.75 peratus).

Sementara itu, Mohamad turut yakin Pakatan Harapan (PH) akan bertanding secara bersih dan adil dalam PRK DUN Rantau.

“Tidak adil untuk saya cakap mereka akan buat demikian (politik kotor). Saya harap mereka akan bertanding secara politik matang.

“Apa rakyat pilih itu akan mewakili mereka. Kita tidak perlu melakukan perkara dilarang dalam peraturan pilihan raya,” katanya.

Menjawab soalan sampai bila beliau akan menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO, Mohamad berkata, ia bergantung kepada keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Terpulang kepada beliau. Kalau bersedia hendak menjalankan semula tugas. Dalam parti tiada masalah, semua berjalan dan bergerak dengan baik,” katanya.