MH Online

Laman Suara Rakyat

UMNO Perlu Kemuka Tawaran Baru Kepada Rakyat

UMNO Perlu Kemuka Tawaran Baru Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, UMNO perlu mewujudkan tawaran baharu kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia jika mahu memperkasakan dirinya menjadi pergerakan yang menjadi landasan massa terbuka dan inklusif untuk diterima kembali masyarakat negara ini.

Justeru, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan supaya Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO merumuskan suatu agenda yang konkrit, untuk dijadikan tawaran UMNO kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, secara asasnya, ketiga-tiga sayap parti perlu menyahut cabaran merangka tawaran baru itu bukan hanya untuk parti tetapi untuk rakyat Malaysia.

“Tawaran ini haruslah mempunyai empat elemen penting iaitu; satu, memberi jaminan dan iltizam UMNO, dalam mengukuhkan kedudukan politik dan kuasa Melayu; kedua, memperbaiki kedudukan sosio ekonomi dan kemajuan bangsa Melayu; ketiga, mengukuhkan kedudukan Islam, institusi Raja, Bahasa Kebangsaan dan budaya Melayu, dan keempat mengukuhkan kemajmukan Malaysia, menghormati kepentingan pelbagai kaum seterusnya memaju dan mensejahterakan Malaysia yang tercinta ini,” katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Perhimpunan tiga sayap UMNO itu menjadi pembuka tirai Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung selama tiga hari sehingga Sabtu ini.

Mohamad juga meminta ketiga-tiga sayap parti itu merangka tawaran itu sebaik-baiknya, dengan mengambil kira pelbagai pandangan dan kecerdasan serta mengutamakan pandangan akar umbi dan orang kebanyakan.

Beliau berkata, UMNO, tidak boleh beroperasi seperti dahulu dan melakukan segala-galanya secara bersendirian.

“Sekarang, kita mesti mencungkil kebijakan dari semua, bukan segelintir. Kita kumpulkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), gabungan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI), ahli akademik, pemikir unggul, profesor ulung, para asatizah (ustaz dan ustazah), pakar dalam pelbagai bidang kemahiran dan semua pihak untuk kita rangkakan ‘the new deal’ ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, adalah penting untuk UMNO mempunyai agenda yang dapat meyakinkan bangsa Melayu dan bukan Melayu yang menjadi taruhan masa depan mereka untuk Malaysia yang lebih baik.

“Kita tidak boleh bergerak tanpa agenda yang konkrit. Tanpa pelan. Tanpa kejelasan tentang apa yang akan kita lakukan, apabila kita diberikan kepercayaan untuk memerintah dan mentadbir semula.

“Dan sudah tentu sekali, kita tidak boleh hanya mengharapkan kegagalan Pakatan Harapan (PH) semata-mata, untuk memenangkan kita. Ingatlah, masa depan UMNO bukan di tangan tiga juta ahli kita sahaja.

“Saya tidak menyangkal ia adalah penting. Namun, masa depan UMNO juga, ditentukan oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya, yang berada di luar sana, yang bukan ahli kita,” katanya.

Mohamad juga menyarankan supaya UMNO membuat penyusunan semula yang serius dan radikal bukan saja bagi menangani kebimbangan rakyat tetapi seiring dengan perubahan cara hidup, budaya kerja dan pemikiran manusia supaya tidak ketinggalan zaman.

“UMNO perlu tangkas untuk belajar perkara baharu, memahaminya dan mempraktikkannya. Maknanya UMNO mesti menjadi sebuah entiti politik yang sentiasa belajar dan berasaskan idea dengan meneroka, berinovasi kreatif dan mencabar kelaziman.

“UMNO perlu cinta ilmu dan pengetahuan baharu. Jika kita gagal belajar, liat untuk menerima ilmu baharu dan menolak pemikiran bernas, yang sesuai dengan kita, maka percayalah, UMNO pada suatu hari nanti akan menjadi sebuah institusi politik yang purba serta disia-siakan, dilupakan, dan ditinggalkan anak bangsa sendiri,” katanya

Mohamad turut menekankan supaya UMNO dalam mendepani zaman penuh gangguan politik tanah air supaya mempunyai daya tahan dalam perjuangan dan tidak boleh menyerah, berputus asa dan tunduk kepada apa juga tekanan sama ada dalaman mahupun luaran.