MH Online

Laman Suara Rakyat

UMNO, PAS Selangor Sokong Pendaftaran MN

UMNO, PAS Selangor Sokong Pendaftaran MN

KUALA LUMPUR,Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menyokong penuh keputusan pimpinan tertinggi parti itu untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) secara rasmi.

Dalam satu kenyataan bersama kepemimpinan gabungan itu juga sepakat memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti.

“Muafakat Nasional Negeri Selangor yang didukung oleh UMNO dan PAS Negeri menzahirkan rasa syukur dan mengalu-alukan langkah strategik pimpinan tertinggi kedua-dua parti di peringkat Pusat yang memutuskan untuk mendaftar Muafakat Nasional secara rasmi.

“Sesungguhnya inisiatif ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua parti dalam menobat dan memartabatkan perjuangan membela agama, bangsa dan negara sepertimana yang dimeterai di dalam Piagam Muafakat Nasional.

“UMNO dan PAS Selangor yakin rakyat Negeri Selangor mengalu-alukan perkembangan positif ini dan kedua-dua parti akan bekerjasama dengan lebih rapat lagi demi mengukuhkan hubungan dan memantapkan jentera dalam memastikan Negeri Selangor dapat diselamatkan oleh MN Negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Untuk rekod, kepimpinan UMNO dan PAS telah bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Setiausaha Agung I yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung II merangkap Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.