Kata beliau, kedua-dua parti yang berlainan ini mempunyai titik persamaan paling banyak, menjadi parti paling awal dalam perjuangan kemerdekaan dan ketika mencapai kemerdekaan.

“Titik persamaan itu telah berjaya meletakkan asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan Islam, hak agama lain, hak bumiputera, bahasa kebangsaan dan hak bermasyarakat majmuk.

“Pertembungan hanya perbezaan pendekatan dan salah faham dalam cabang yang bersifat teknikal. Maka dalam menghadapi cabaran lebih besar, kita wajib bersatu dalam perkara dasar dan asas, boleh bertolak ansur dalam perbezaan, serta bermaaf-maafan dalam pertembungan,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian sewaktu berucap pada program Himpunan Penyatuan Ummah, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sementara itu, jelas Abdul Hadi, semua pihak termasuk masyarakar bukan Melayu dan Islam di negara ini diminta supaya tidak risau kepada penyatuan Melayu yang dianjurkan oleh UMNO dan Pas.

“Malah sejarah menyaksikan Raja-Raja Melayu beragama Islam berjaya menyatukan rumpun Melayu dan masyarakat majmuk di rantau ini.

“Ia sehingga rakyatnya menerima agama Islam dan bahasa Melayu berhuruf al-Quran menjadi bahasa rasmi Nusantara yang pengaruhnya masih ada sehingga kini dalam kalangan 300 juta jumlahnya merangkumi Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina, Selatan Thailand dan bangsa Champa di Kemboja dan Vietnam,” katanya.